21 Februari 2014

Bila Mahu Kawen????

artikel original dr http://angelwearsgucci.blogspot.com/2011/12/bila-mahu-kahwin.html

Tu dia. Dah keluar dah soalan cepu intan.

Soalan yang bukan sahaja panas, tapi hampir-hampir membuatkan telinga saya bernanah mendengarnya.

Bila mahu kahwin Inche gabbana..? (Err. Ya betul, saya masih bujang. Terlajak.)

Tertekan. Sumpah. Hampir ke mana-mana sahaja yang saya pergi, soalan ini pasti akan ditanya. Dan yang menariknya, yang bertanya tidak kira usia dan latar belakang. Baik tua atau muda, jantan atau betina. Semuanya begitu berminat mahu mengetahui bilakah saya akan mendirikan rumah eskalator. Eh. Rumah tangga.

Pernah sekali ketika menyertai sebuah program berbentuk ruhiyy (Baca: Kejiwaan) di sebuah tempat yang dirahsiakan namanya, wahai, saya terasa begitu janggal dan terasing kerana golongan seperti saya ini (Baca: Bujang terlajak) adalah golongan yang minoriti. Dan ditakdirkan seorang lagi rakan bujang yang selalunya bersama-sama saya tidak dapat hadir ke program tersebut. Maka haruslah saya yang menjadi sasaran serangan bom tangan, mesingan dan juga sumpit beracun. Setiap kali topik Baitul Muslim atau tarbiyyah keluarga keluar, pastilah saya yang menjadi bahan usikan. Terpaksalah saya tersenyum kambing gurun seorang-seorang.

Sehinggakan di akhir program, terpacul di mulut saya:

"Ustaz, lepas ni ana dah tak nak datang la prog ABC ni. Asyik-asyik ana je yang kena!"

Berseloroh. Senyum tawar.

Malah di opis tempat saya bekerja, ramai yang tidak percaya yang saya tidak mempunyai pasangan atau sedang bertemujanji dengan sesiapa. Bagi mereka, itu satu perkara mustahil untuk seorang lelaki panaaassss seperti saya. *koff koff strepsils koff koff* Ehem ehem. Semalam seorang setiausaha dari jabatan lain datang berjumpa saya. Katanya, ada peminat gelap yang mahu menjadikan saya sebagai anak menantunya. Terjegil biji mata.

Bertambah kritikal apabila sudah menginjak usia, err, XY tahun ini, semakin ramai rakan-rakan sebaya yang menamatkan zaman bujang mereka. Belum dikira junior beberapa tahun yang tampaknya sudah lebih maju dan jauh ke depan daripada saya. Baru-baru ini ketika seorang rakan menjemput saya untuk datang ke majlis walimatulurusnya, secara jujurnya saya separuh terkejut kerana di Sekolah Bintang dahulu, perwatakannya adalah sedikit kekanak-kanakan dan tubuh badannya yang kecil menjadikan dirinya seperti adik kepada rakan-rakan lain. Separuh lagi tidak terkejut kerana yalah, di usia ini, memang normallah untuk berkahwin.

Saya menulis di laman perkahwinan MukaBukunya:

"Barakallahu lakuma! Weyy mana acciii kau langkah bendull..! Haha.. Congratz bro..! ;D"

Buat-buat ceria padahal peluh besar mengalir laju.

Belum lagi dikira kegilaan dan keterujaan saya kepada kanak-kana pipi tembam gemuk-gemuk kiut miut nak mati heyyy! Err. Selalunya anak-anak ikhwah la yang menjadi mangsa kerakusan saya mencubit dan mencium mereka di konferens-konferens riang yang saya sertai. Kasihan. Ketika ini jugalah ikhwah mengambil kesempatan untuk mengenakan saya.

"Uish, ada gaya la! Bila lagi..??"

"Ha, bila pulak nak ada anak sendiri..?"

"Dah nak sampai masa dah tu. Alhamdulillah, mabbrrroookk akhi...!"

Adeh.

Seorang akh yang juga bujang, datang dengan solusi yang agak khalakar.

"Ana memang dah nak kahwin dah wiken ni. Tapi ada daurah kan, so terpaksa tangguh dulu..."

Semat bukan..? Pipi kemerah-merahan, peluh penuh di dahi.

Dah tu Inche gabbana, awat liat sangat hang nak berbini..?? Awqat keteqaq sangat nih...??

Tu dia.

Kalau anda mahukan jawapan jujur daripada saya, entahlah. Saya pon tidak tahu mengapa saya masih belum menaiki tangga seterusnya. Jawapan mudahnya sudah tentulah semuanya adalah perancangan Allah. Jodoh pertemuan di tangan Tuhaaaann. Simptom-simptom penafian. Escapism.

Malah kalau anda perasan, amat jarang sekali saya menulis isu ini. Mungkin inilah yang pertama. Dan err, tidak mustahil yang terakhir. Pertamanya kerana saya merasakan diri saya amat tidak layak untuk membicarakannya. Mana mungkin seseorang yang tidak pernah merasa keenakan atau keunikan kuih puteri berendam, mahu berbicara tentang keistimewaannya bukan..?

Sehinggakan apabila hadek-hadek mengusik saya, tiada jawapan yang dapat saya berikan melainkan "Insha-Allah, Amin!." Wahahaha.. Gelak simpati. Dan kadang-kadang hadek-hadek ini yang menjadi mangsa. Setiap kali mereka berseloroh tentang Baitul Muslim ini, mereka akan cepat saya bakar dan panggang hidup-hidup. Hohoho.. Pada saya, tiada faedahnya mereka berbicara tentang hal ini kerana amat sukar untuk membayangkan perbincangan sebegitu akan membuahkan amal yang muntij.

Pelik sungguh anda ni Inche gabbana. Apa anda ni malaikatkah, tidak punya nafsu dan impian untuk mendirikan rumah tangga..??

Uish. Hakikatnya, saya adalah seorang manusia biasa. Lelaki pula tu. Sudah tentu naluri kejantanan kelelakian saya mendesak bertubi-tubi untuk saya dirikan rumah tangga dengan segera.

Kerana saya bukannya gay. Kalau saya gay sudah tentu saya tidak punya keinginan untuk mendirikan rumah tangga seperti manusia biasa yang lainnya. Tetapi saya bukan gay maka saya ingin mendirikan rumah tangga seperti manusia biasa yang lainnya. Hoh.

Cik Adik Perempuan juga sudah berkali-kali mengajukan persoalan yang sama. Bilakah dia dapat bermain dengan anak-anak saudara yang comel gebu-gebu..? Peluh. Mujurlah Puan Mama dan Inche Papa jenis yang tidak berapa kisah orangnya. Tidak pernah mereka memaksa saya untuk mendirikan rumah tangga. Mereka memberikan kebebasan penuh kepada saya untuk membuat keputusan. Puan Mama pernah juga kadangkala bertanya sama ada saya mempunyai gelpren atau tidak. Dan pernah juga menawarkan khidmat untuk mencarikan calon bakal menantu. Pandang kiri, pandang kanan. Err, saya...?

Saya tahu, tidak kurang ikhwah yang pelik, malah geram mungkin, mengapa saya masih belum lagi berbaitul Muslim. Sukar untuk saya jelaskan. Mereka menyangka saya sengaja melengah-lengahkan tindakan yang super penting itu. Mereka fikir saya memandang enteng dengan kepentingan untuk berkahwin dengan segera. Mereka sangka saya tak nak kahwin!

Bukan begitu.

Pengalaman ditarbiyyah di London mungkin sedikit-sebanyak mempengaruhi siapa diri saya sekarang ini. London, berbeza dengan kawasan-kawasan lain mungkin. Isu perkahwinan jarang sekali dikeutarakan. Fokus utama adalah memancing, menangkap dan mentarbiyyah hadek-hadek. Banyak kerja lain yang perlu diuruskan. London memerlukan penggerak-penggerak yang komited. Tiada masa untuk memikirkan perkara-perkara lain.... Sehinggakan soal berbaitul Muslim ini dibiarkan seperti duit syiling sepulosen di tepi jalan.

Ketika orang lain sibuk berbincang tentang kahwin, faedah berbaitul Muslim, bla bla bla.. Kami sibuk berbincang tentang gerak kerja, program-program yang mahu diuruskan, perkembangan adik-adik... Begitu sibuk dan rancak membincangkan isu-isu penyusunan tenaga dakwah dan tarbiyyah, sehinggakan isu berbaitul Muslim ini dilihat sebagai isu sekunder, malah tertier mungkin. Tidak penting. Bukan awlawiyat untuk dibincangkan.

Masalahnya adalah apabila kami mula diracuni dengan pemikiran bahawa dengan berkahwin itu akan melambatkan dakwah. Akan menyukarkan kerja-kerja dakwah. Sehinggakan apabila ada ikhwah yang berbicara tentang isu Baitul Muslim ini, kami mencebik, menjuih bibir tanda tidak setuju dan memandang rendah pada mereka ini. Kerana kami merasakan perkahwinan di saat itu adalah tidak produktif untuk dakwah.

Allahu Allah. Betapa entengnya pemikiran kami ketika itu. Betapa mudahnya kami memandang rendah pada ikhwah kami sendiri, hanya semata-mata mereka memenuhi kehendak kemanusiaan mereka! Astaghfirullah...

Tetapi pada belah duit syiling yang satu lagi, saya faham benar mengapa kami mengambil pendekatan sebegitu rupa. Baitul Muslim bukan perkara main-main. Baitul Muslim adalah perkara yang sumpah seriyes. Anda mahu mendirikan rumah tangga dengan seorang manusia lain yang berlainan jantina, yang amat berbeza perangai dan karakternya mungkin. Dan itu adalah suatu pertaruhan yang amat tinggi risikonya.

Dan kita sedang membicarakan soal Baitul Muslim, dan bukannya perkahwinan yang biasa-biasa. Ia adalah penyatuan dua jiwa yang sefikrah; menggabungkan dua penggerak dakwah yang sama-sama mahu mengejar aspirasi agung dalam menggapai keredhaanNya yang hakiki. Sayugia tanggungjawab dan amanah yang datang bersamanya juga lebih besar dan berat, lebih berat daripada bapak beruang polar di Antartika.

Seorang suami dalam Baitul Muslim tidak boleh tidak, bertanggungjawab bukan sahaja memastikan dirinya kekal tsabat setelah berkahwin, malah wajib pula memastikan tarbiyyah pasangan dan anak-anaknya nanti juga terbela dan terjaga. Waduh-waduh, ini kerja beraaaattt dong! Makanya, seorang akh itu perlu betul-betul bersedia sebelum melangkah ke alam yang penuh mencabar itu. Of koslah, kalau nak tunggu sampai benar-benar sempurna dari segi persediaan, alamatnya sampai ke kubur pon tak merasalah melalui gerbang perkahwinan.

Tetapi cukup bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran dan mehnah dalam perkahwinan. Kerana berkahwin itu tidak semudah memakan biskut rangup lagi lazat famous Amos itu. Tidak. Anda bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang insan yang kemungkinan besar akan kekal bersama anda sebagai isteri yang setia sehingga ke akhirnya! Seorang itu sahaja sepanjang hayat. Sudah pasti besar dan berat ujiannya!

Firman Allah:

    "Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan disisi Allah tempat kembali yang baik"

[ali-Imraan, 3:14]

Seperti yang pernah saya nukilkan di dalam post 'Pesanan Bergaya Buat Ikhwah', seorang ustaz pernah mencabar kami bahawasanya dia tidak akan respek dengan ikhwah selagi mana mereka tidak melalui dua jenis ujian; ujian pekerjaan dan ujian perkahwinan. Da seorang akh yang sudah beranak-pinak menambah satu lagi jenis ujian ke dalam senarai tersebut; ujian anak-anak.

Takut betul saya, sekiranya saya akan tersungkur jatuh dengan ujian-ujian ini. Ya saya mungkin sudah berjaya melalui ujian pekerjaan. Tetapi tiada siapa tahu sama ada saya sudah benar-benar bersedia dengan baju besi, pedang dan perisai saya untuk menghadapi dua lagi ujian itu, yang pastinya lebih mencabar dan membotakkan kepala..! Wahai!

Selain itu, mendengar pengalaman pahit tak berapa manis ikhwah akhawat yang telah berkahwin menjadikan diri ini sedikit fobia untuk melangkah ke alam baru itu. Siapa sangka, perkahwinan dua insan yang sama-sama berjuang dan berkorban untuk perkara yang sama, rupa-rupanya tidak dapat lari daripada badai dan ombak ganas berumah tangga.

Sehinggakan terkadang terlintas di dalam hati, "Inikah hasil perkahwinan ikhwah dan akhawat...?" Astaghfirullah.. Maafkan kedangkalan saya itu. Saya ingatkan, perkahwinan ikhwah dan akhawat pastinya sempurna; bebas daripada masalah-masalah remeh yang sering melanda perkahwinan keluarga lain. Saya terlupa satu fakta yang terlalu amat asas; ikhwah dan akhawat juga manusia.

Selain itu, pengalaman hitam legam, lebih pekat dari kegelapan malam di masa lalu, turut menghantui diri sehingga ke hari ini. Lumpur-lumpur maksiat masih segar dalam ingatan. Maka terasa begitu zalim dan hina untuk mendirikan rumah tangga; terasa tidak layak untuk menikah dengan seorang wanita yang pastinya jauh lebih mulia dan suci daripada diri ini. Setiap kali terfikir hasrat untuk berkahwin, hasrat tersebut amat mudah dipatahkan dengan kisah-kisah silam yang lalu.

Tertunduk malu penuh keinsafan.

Dan ada beberapa lagi perkara yang perlu saya pertimbangkan sebelum membuat keputusan yang maha penting ini. Maaf tidak dapat saya kongsikan di sini. Bukan memberi alasan, cuma ini keputusan yang cukup penting dan besar. Saya tidak mahu membuat keputusan yang gopoh dan terburu-buru, yang akan saya sesali kelak.

Kepada ikhwah yang mengenali diri ini, percayalah, saya mahu berbaitul Muslim. Doakan agar Allah permudahkan urusan saya, biidznillah. Doakan agar Allah tanamkan keyakinan kepada diri saya untuk melangkah ke alam yang penuh misteri ini. Doakan agar Allah akan pertemukan saya dengan ketua bidadari syurga saya, yang akan berpimpinan tangan bersama-sama melangkah masuk ke dalam sorgaNya yang hakiki. Fulamaweh.

Seperti yang saya katakan, saya juga seorang lelaki normal yang cukup sifat-sifatnya. Tambahan pula, hanya dengan berbaitul Muslimlah akan lengkap separuh daripada agama saya. Dan bukankah mereka yang memilih untuk tidak berkahwin dengan sengaja, mereka itu bukan di kalangan umat Nabi Muhammad SAW..? Gulp. Jadi, kena kahwin.

Mengambil iktibar dan ibrah daripada pesanan seorang akh Super Saiya tentang bab berbaitul Muslim ini:

"...kalau nak rasa ketenangan sebenar insyaAllah cubalah utamakan maslahah dakwah.. Yang lain akan setel insyaAllah.

...kalau tak dapat seideal yang dia nak di dunia, nanti claim dengan Allah kat syurga insyaAllah."

Sunggu osem bukan..? Insha-Allah akan saya genggam kemas nasihat dan panduan ini.

"Ya Allah, kau pertemukanlah aku dengan pasangan yang solehah. Kau pertemukanlah aku dengan isteri yang dapat sama-sama berjuang di atas jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Kau satukanlah hati aku dengan insan yang dapat berpimpinan denganku ke syurgaMu yang kekal abadi...!"

    "Dan orang-orang yang berkata: "Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa."

[al-Furqan, 25:74]

Mahukah saya berkahwin? Of kos, sudah tentu. Bila mahu kahwin..? Entah. Angkat bahu, senyum kenyit mata.